Friday, April 6, 2012

"Anak ke adik?"

Ita selesai mengemaskini rekod pelajar baru mendaftar hari itu. Tetikus diarahkan ke ikon 'Save', diklik, kemudian mencari ikon pintu keluar.

"Are you sure to quit?"

Sistem memaparkan kekotak pengesahan. Ita memilih 'Yes'.

Matanya mengerling jam dinding di ruang hadapan.

"Masya Allah, dah nak maghrib.. macam mana boleh tak perasan ni!"

Ita menoleh sekeliling. Lengang. Dia keseorangan. Teman-teman sepejabat sudah pun pulang ke rumah. Kesibukannya membuatkan dia tidak menyedarinya. Dan itu sudah mejadi lumrah di musim pendaftaran pelajar baru.

Ita segera memberi arahan 'Shut down' kepada komputer. Selesai mengemas ruang kerjanya, Ita bergerak ke pintu keluar, mengunci pintu utama sebelum turun menuju kereta. Sudah menjadi rutin orang yang terakhir keluar pejabat, perlu mengunci pintu dan menyerahkan kunci di pondok pengawal.

******

Samsul membaca akhbar yang ada di hadapannya.

"Malaysia capai sasaran 41 emas".

"Hoh, paper zaman bila nih!", omel Samsul seorang diri.

Namun, akhbar itu terus ditatapnya bagi menghilangkan bosan. Jam di tangannya dilihat sekilas.

"Eh, baru 7.15, gelap macam dah maghrib!"

Petang gelap itu Samsul bertugas di Pintu Utara. Menunggu staff berkerja lebih masa menghantar atau mengambil kunci.

******

Ita tiba di pondok pengawal Pintu Utara dengan Kancilnya.

"Owh, En Samsul bertugas hari ini", kata Ita dalam hati, kebetulan Samsul itu memang dikenalinya kerana pernah berkursus bersama.

Menggenggam segugus kunci, Ita menuju ke pondok itu, tersenyum.

*****

Bacaan Samsul terganggu dek bunyi enjin kereta yang mendekati tempatnya.

Samsul mengangkat kepalanya, tersenyum.

"Rajin betul si Ita ni buat OT."

Samsul memandang tepat ke sebelah kiri Ita sejurus Ita tiba di kaunter pemulangan kunci.

Ita menghulur gugusan kunci itu kepada Samsul.

"Anak ke adik?", Samsul cuba beramah.

Ita terdiam. Wajahnya berubah.



(adaptasi dari kisah sebenar)

No comments:

Post a Comment