Wednesday, May 8, 2019

Kang Lan & Hari Hiba

Kang Lan atau Pakcik Roslan ( ada juga yang  menggelar pakcik agogo bila merujuk beliau pada zaman itu ) merupakan salah seorang staf pejabat di SMKAKS, sekitar 1994-1998. Beliau mengahwini Kak Aznaliza, ketika itu bergelar Pengurus Asrama. Aku masih ingat beliau enggan dipanggil kang olehku. “Ko budak2 lagi panggil pakcik aja”. Hari ini aku mengetahui, jarak umur kami tidak jauh langsung aku jadi kekok membahasakan dia sebagai pakcik, sementalah beliau masih lagi dalam perkhidmatan.
Beliau aku hubungi melalui aplikasi Whatsapp, setelah diberikan nombornya oleh Zaleha, junior satelit harapanku (walaupun belum bersua muka). Namanya timbul apabila duit tajaan iftar batchku masih berbaki untuk mengisi slot tajaan guru. Melalui syura’ batch 1998 bersetuju menaja kerusi beliau & isteri.
Sapaan ku di Whatsapp tidak dijawab, sebaliknya beliau membuat panggilan telefon kepadaku. Menjawab panggilan secara tetapan lalai, aku berkeras bertanya “nak cakap dengan siapa?” selepas beliau meminta aku memperkenalkan diri sejurus selepas aku menjawab “hello”. Aku tersedar apabila membanding nombor telefon yang terpapar dengan nombor yang telah aku sapa di WA, “eh kejap, ini pakcik roslan ya?” Tebakku yakin.Aku menyebut namaku dan Kang Lan menyambung “yang sekolah SMKA Kuala Selangor kan?” Aku jadi kaget, “Subhanallah, Kang Lan masih ingat saya?!” separa terjerit.
MasyaAllah sungguh terharu. Bual kami panjang. Kisah kegagalanku pada Pidato Piala Diraja dipetik lagi. Rupanya Kang Lan yang menghantar pasukan kami ke pertandingan tersebut. Sempat beliau membebelkan pegawai teknikal yg membetulkan mikrofon semasa aku sedang berucap, punca kelupaan ku, menurut anggapannya.😂😅
Dan beliau menghimbau memori tentang baba. “Kau anak khodi kan? Abah kau sehat?”
Kang Lan masih mengingati banyak maklumat tentang aku. “Iya kang, abah saya dah meninggal baru hujung tahun lepas”. Serentak menuturkan itu, rasa hiba menjentik hatiku. Dari siang, sehingga ke tarawih, air mata ku sekejap-sekejap mengalir sendiri. Dan masih mengalir semasa aku menyudahkan entri ini. Hiba. Rindu. Serentak aku tersedar, Ramadhan ini kali pertama tanpanya. 😢 Dalam kesedaranku, tidak pernah sekali pun aku menuturkan rindu baba, secara berhadapan. Ia bukan satu budaya dalam keluargaku. Baba, am benar-benar rindu.😭
Perbualanku dengan Kang Lan diakhiri dengan janji dari beliau untuk berbincang dengan isterinya perihal jemputan ke Majlis Iftitah, sempena sambutan Jubli Perak SMKAKS. Semoga kerusi-kerusi tersebut dapat diisi oleh beliau & isteri. Terima kasih Kang, mengingatkanku kepada Baba. AlFatihah.

No comments:

Post a Comment

Journal journey

Hari pertama. Sedang berusaha sehabis baik untuk menuliskan sesuatu secara rutin. Moga-moga lebih istiqamah Alhamdulillah, dapat bonding d...